PETALING JAYA: Raja-raja Melayu mengingatkan bahawa Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar simbol kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi lambang perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum serta kesempatan untuk menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Di Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berharap umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dalam suasana yang meriah, harmoni dan dipenuhi semangat perpaduan.
“Beta turut mendoakan agar budaya sambutan perayaan seumpama ini memperteguh jalinan kesepaduan dengan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum terus hidup dengan toleransi serta aman sentosa,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Di Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, Syawal membawa peringatan tentang erti kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang sejati, selain menjadi kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memperbaiki diri.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran dalam laman Facebook memaklumjan, baginda berdua mendoakan kehadiran bulan Syawal ini membawa seribu keberkatan, kedamaian dan kemakmuran buat semua.
Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, agar masyarakat sentiasa bersyukur kerana dikurniakan kehidupan yang makmur, sejahtera, dan bahagia, tanpa diuji dengan cabaran serta isu besar.
Baginda bertitah, bahawa dalam suasana yang damai ini, masyarakat harus terus mengutamakan nilai kemanusiaan serta saling membantu, berpandukan hadis dan akhlak mulia Nabi Muhammad SAW.
“Pada masa ini, terdapat beberapa negara yang menghadapi masalah peperangan sehingga menyebabkan penduduknya menjalani kehidupan dengan penuh tekanan.
“Mereka terpaksa berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan kemudahan asas lain,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini.
Di Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai medium mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.
Baginda dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri bertitah, Aidilfitri bukanlah semata-mata hari kemenangan umat Islam, bahkan mampu menjadi jambatan perpaduan antara rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini.
Justeru Sultan Mizan berharap agar semua rakyat meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan kaum dengan cara mengekalkan toleransi serta sifat saling hormat-menghormati.
“Kepelbagaian bangsa dan agama yang terjalin di negara kita sedari dulu bukan sesuatu yang mudah untuk dibina atau untuk dileraikan.
“Beta ingin mengingatkan supaya setiap daripada kita sentiasa meraikan kepelbagaian ini.
“Pupuklah semangat itu dalam diri anak-anak agar kedamaian sebegini kekal pada masa-masa akan datang,” titah baginda.-UTUSAN