Raja Muda Perlis dimasyhur semula Canselor UniSIRAJ

Raja Muda Perlis dimasyhur semula Canselor UniSIRAJ hingga April 2030

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima Watikah Pemasyhuran Semula sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dalam majlis yang di Kuala Lumpur, baru-baru ini. -IHSAN MAIPs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan menerima Watikah Pemasyhuran Semula sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi tempoh lima tahun sehingga April 2030.

Pemasyhuran ini dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 32 UniSIRAJ, yang bertujuan mengukuhkan kepemimpinan baginda dalam menerajui institusi pendidikan tinggi Islam itu ke tahap kecemerlangan akademik dan penghayatan sunnah di peringkat nasional serta antarabangsa.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan berkata, pemasyhuran tersebut bukan sahaja memperkukuh peranan UniSIRAJ sebagai pusat pendidikan Islam berwibawa, tetapi turut mengangkat kedudukannya sebagai institusi yang berperanan besar dalam pembangunan intelektual, dakwah dan kemasyarakatan di rantau ini.

“Dengan menjadikan ‘Applied Sunnah’ sebagai teras utama, UniSIRAJ mengutamakan penghayatan sunnah dalam kehidupan seharian selaras dengan slogannya ‘Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan’,” katanya. 

Watikah pemasyhuran dipersembahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dalam satu majlis bersejarah di ibu negara kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Rektor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle. 

UniSIRAJ kini menawarkan 27 program pengajian merangkumi Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah di bawah empat fakulti utama serta dua pusat pengajian.

Semua program akademik di universiti ini diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi yang semakin berkembang pesat dan menjadi pilihan utama pelajar yang ingin mendalami ilmu Islam secara holistik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN