MACHANG: Seorang remaja putus sebahagian jari tengah dan cedera pada jari telunjuk kanannya selepas tidak sempat melempar mercun bola yang dicucuh dalam kejadian di Batu 23, Jalan Sawmill, Labok di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu turut menyebabkan kedua-dua jari Adam Aiman Noor Kamarul Azwan, 14, patah.
Ibu mangsa, Siti Zuraini Muhammad, 24, berkata, anaknya itu kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai selepas mengalami pendarahan pada jarinya akibat letupan.
Katanya, Adam Aiman dikatakan mencucuh mercun bola, namun tidak sempat melempar sebelum ia meletup pada tangannya.
“Saya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh sepupunya. Adam Aiman bermalam di rumah sepupunya di kampung sama malam tadi.
“Dia pada awalnya menyembunyikan kesakitan yang dialaminya selepas kejadian. Sepupunya menyedari jari Adam Aiman putus selepas melihat kesan darah pada tilam di dalam bilik semasa mengejutnya untuk bersahur,” katanya.
Siti Zuraini memberitahu, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Machang sebelum dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut. – UTUSAN