SABAK BERNAM: Penduduk Taman Ria, Sekinchan di sini, menyifatkan bencana ribut dan puting beliung melanda kawasan itu merupakan paling buruk pernah berlaku sehingga mereka menanggung kerugian ribuan ringgit.
Kejadian petang Selasa lalu itu menimpa 48 keluarga yang kediaman mereka terjejas teruk selepas bumbung diterbangkan angin kencang dan turut dimasuki air hujan.
Penduduk, Norazhar Jamaluddin, 59, berkata, sejak dia menetap di taman perumahan itu 46 tahun lalu, bencana baru-baru ini merupakan yang paling buruk.
“Rumah pusaka peninggalan arwah bapa mengalami kebocoran teruk pada bumbung yang musnah diterbangkan angin.
“Bahagian ruang tamu dan dapur turut dipenuhi air hujan sehingga mengakibatkan kerosakan dan kerugian RM15,000,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan bantuan mangsa ribut di Dewan Seri Sekinchan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM30,000 termasuk barangan dapur kepada 48 keluarga berkenaan.
“Setakat ini, lima keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan.
“Mereka masih menanti bantuan baik pulih kerana kediaman rosak teruk dan tidak mampu untuk membaikinya,” katanya.
Jelas beliau, Sekinchan dan Sabak Bernam kerap dilanda angin kencang dan ribut kerana kawasan itu merupakan kawasan rata dan dipenuhi sawah padi.