Puspakom lanjut waktu operasi sepanjang Mac ini - Utusan Malaysia

Puspakom lanjut waktu operasi sepanjang Mac ini

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan melanjutkan waktu operasi sehingga 12 jam sehari di hampir semua cawangannya sepanjang Mac ini bagi meningkatkan kapasiti pemeriksaan dan mengatasi isu kesesakan.  

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu membolehkan lebih banyak kenderaan menjalani pemeriksaan setiap hari sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu bagi pemilik kenderaan. 

Katanya, penambahan waktu operasi itu membabitkan semua cawangan Puspakom kecuali di Langkawi dan Pekan  

“Sebagai langkah segera, Puspakom akan menambah empat jam sehari kepada waktu operasi biasa dan akan turut beroperasi pada hari Sabtu sepanjang bulan Mac.  

“Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti pemeriksaan harian sehingga 15,500 kenderaan berbanding 13,500 sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat selepas kementerian mengadakan perbincangan bersama Puspakom, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mencari penyelesaian terhadap kesesakan yang berlaku sejak awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Puspakom Wangsa Maju, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, Puspakom juga akan mengetatkan kawalan terhadap tempahan slot pemeriksaan bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tertentu.  

Katanya, antara langkah yang diambil termasuk tidak lagi membenarkan tempahan berganda bagi nombor pendaftaran yang sama pada hari sama serta membekukan slot asal sekiranya tarikh pemeriksaan ditunda.  

“Tindakan ini bertujuan mengekang aktiviti pihak tengah atau ‘runner’ yang mengambil kesempatan menjual slot pemeriksaan kepada pemilik kenderaan lain untuk keuntungan berlebihan.  

“Dengan sistem yang lebih ketat ini, kami dapat memastikan proses pemeriksaan berjalan lebih lancar dan pemilik kenderaan mendapat slot pemeriksaan secara adil,” katanya.

Tambahnya, pihak kementerian komited untuk memastikan perkhidmatan Puspakom lebih cekap dan mesra pengguna tanpa menjejaskan aspek integriti serta keselamatan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya