PUTRAJAYA: Polis mengesahkan kematian pegawai Tribunal Rayuan Kastam, Kementerian Kewangan disebabkan tekanan pada leher akibat jerutan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selepas selesai proses bedah siasat terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya (HPJ) sebentar tadi.
Beliau berkata, buat masa ini, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).
“Proses bedah siasat dilakukan oleh pakar patologi dari Jabatan Forensik & Patalogi Hospital Sultan Idris Shah.
“Punca kematian adalah disebabkan ‘Compression of neck due to ligature strangulation’.
“Berdasarkan kepada laporan bedah siasat dan keterangan pakar patalogi, siasatan masih dibawah SDR,” katanya.
Katanya, proses bedah siasat berjalan selama dua jam 30 minit.
Sementara itu, waris keluarga si mati dilihat turut hadir di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya.
Mereka bagaimanapun enggan ditemubual media.
Semalam, mayat Pegawai Tribunal Rayuan Kastam itu ditemukan dalam Pejabat Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.
Berdasarkan maklumat awal, lelaki berusia 45 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut pengikat kabel. – UTUSAN