GEORGE TOWN : Pulau Pinang bakal menerima satu lagi laluan penerbangan terus dari sebuah bandar utama di China dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, laluan baharu itu dijangka beroperasi bermula Mei ini sempena puncak perjalanan Minggu Emas Hari Pekerja di China.
“Penang Global Tourism telah menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan dari China semasa Forum Routes Asia 2024.
“Kini, syarikat tersebut sedang menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk beroperasi,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, penerbangan terus itu akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan serantau dan menarik lebih ramai pelancong dari China.
“Setakat ini, Pulau Pinang mempunyai penerbangan terus dari tujuh bandar di China iaitu Guangzhou, Xiamen, Shanghai, Hong Kong, Shenzhen, Chongqing, dan Xi’an.
“Dengan penambahan laluan baharu ini, Pulau Pinang akan mempunyai penerbangan terus dari lapan bandar di China,” ujarnya.
Katanya, pada Februari 2025, seramai 33,151 pelancong China tiba di Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa, meningkat 118.03 peratus berbanding Februari 2024.
“China kini mengatasi Singapura sebagai pasaran pelancong antarabangsa kedua terbesar Pulau Pinang selepas Indonesia,” katanya.
Sementara itu, katanya, Pulau Pinang turut akan menerima penerbangan terus baharu dari Yangon, Myanmar pada 10 April depan menerusi Myanmar Airways International.
Mengulas mengenai AirAsia yang mengumumkan penggantungan lapan laluan penerbangan, termasuk satu laluan dari Pulau Pinang ke Hong Kong, Hon Wai berkata, laluan tersebut kini mempunyai 22 penerbangan dalam seminggu yang dikendalikan oleh Cathay Pacific, Hong Kong Express Airways dan AirAsia.
“Persaingan yang sengit mungkin menyebabkan AiraAsia menyesuaikan laluan mereka untuk meneroka pasaran baharu. Keputusan ini adalah sebahagian daripada strategi komersial biasa dalam industri penerbangan,” katanya.-UTUSAN