GEORGE TOWN : Pulau Pinang yang diiktiraf secara global sebagai hab teknologi tinggi bersedia untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor perdagangan dan pelancongan bersama Kazakhstan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata,kerjasama antara kedua-dua pihak dijangka berpotensi untuk terus merancakkan perdagangan dua hala, khususnya dalam sektor teknologi dan pembuatan serta pelancongan.
“Selain itu, perkongsian kepakaran teknologi antara Pulau Pinang dan Kazakhstan dapat membantu memperkasa keupayaan digital serta industri di negara Asia Tengah itu dalam membangunkan bandar pintar, teknologi kewangan (fintech) serta inovasi IT.
“Ini seterusnya akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia dan Pulau Pinang khususnya untuk menembusi pasaran Kazakhstan dan Asia Tengah secara lebih meluas,” katanya selepas menghadiri forum perniagaan bertajuk ‘Discover the Heart of Eurasia’ di sini, hari ini.
Menurut Hon Wai, sebagai hab teknologi tinggi dan destinasi pelancongan terkenal, Pulau Pinang berada dalam kedudukan terbaik untuk menarik lebih banyak pelaburan dari rantau Asia Tengah ke negeri ini.
“Dengan inisiatif seperti forum perniagaan ini, diharapkan lebih banyak sinergi dapat diwujudkan bagi manfaat jangka panjang kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, forum-forum perniagaan seperti ‘Discover the Heart of Eurasia’ adalah penting dalam membuka peluang perniagaan serta pelaburan kepada komuniti perniagaan Pulau Pinang ketika ini khususnya antara Malaysia dan Kazakhstan sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan perindustrian di kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Kazakhstan telah menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas pandemik Covid-19.
Katanya, Kazakhstan mempunyai pasaran yang luas serta pelbagai peluang pelaburan menarik yang mampu memberikan pulangan tinggi kepada pelabur asing. – UTUSAN