Pulau Pinang bakal miliki sekolah Islam antarabangsa pertama

Pulau Pinang bakal miliki sekolah Islam antarabangsa pertama

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) ketika menyaksikan pemeteraian MoU antara MAINPP, YIPP dan Al-Hamra Integrated School bagi penubuhan Sekolah Islam Antarabangsa Al-Mashoor di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Pulau Pinang mengorak selangkah ke hadapan dalam usaha untuk memperkukuhkan institusi pendidikan Islam di negeri ini menerusi penubuhan Sekolah Islam Antarabangsa Al-Mashoor.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penubuhan sekolah itu hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara tiga pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Al-Hamra Integrated School.

Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua MAINPP berkata, sekolah Islam antarabangsa itu mula dibangunkan tahun lepas di atas tanah tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Al Manshoor di Pulau Tikus, George Town dengan peruntukan sebanyak RM11.8 juta.

Beliau berkata, ketika ini, kerja-kerja pembinaan serta penaiktarafan sekolah itu sedang berjalan dan ia dijangka siap Jun ini sebelum mula beroperasi seawal September ini.

“Apabila siapnya sekolah ini kelak, ia akan menjadi sekolah Islam antarabangsa pertama di utara Semenanjung yang menggunakan IHES (Sistem Pendidikan Holistik Berintegrasi) serta silibus IGCSE (Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah) yang diiktiraf di peringkat Cambridge.

“Dengan sasaran lebih 600 pelajar, sekolah ini akan menjadi mercu tanda pendidikan Islam bertaraf antarabangsa yang baharu di Pulau Pinang,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di Seberang Jaya, semalam.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang serta pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MAINPP.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, kerajaan negeri melalui MAINPP dan rakan strategik mereka iaitu Kedamaian Kemanusian Berhad (KKB) bersetuju menaja sebanyak RM1 juta untuk program kebajikan di Gaza, Palestin.

Katanya, program yang diberi nama Projek Nur Al-Yateem itu merupakan satu inisiatif kemanusian yang memberi tumpuan kepada penjagaan serta kebajikan anak-anak yatim di sana yang telah kehilangan ibu bapa akibat konflik peperangan berpanjangan.

Jelas Mohamad, menerusi projek tersebut, kira-kira 500 orang anak yatim di Gaza akan menerima bantuan kewangan secara bulanan dan ia turut merangkumi keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian, pendidikan, tempat tinggal serta sokongan kesihatan dan psikososial.

“Kos tajaan bagi setiap anak yatim ini dianggarkan sebanyak RM250 sebulan atau kira-kira RM3,000 setahun sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM1.5 juta termasuk derma yang diterima daripada masjid-masjid dan sektor korporat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya