Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini memberi sumbangan kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Acara tersebut dianjurkan setiap tahun bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik ketika menyambut Ramadan dan Syawal menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai tanda keprihatinan dan komitmen terhadap masyarakat yang memerlukan.
Program tersebut merupakan acara tahunan PTPTN sejak 2016 bagi membantu dan menyantuni anak-anak yang kurang bernasib baik dalam menyambut Ramadan dan Syawal.
Menurut kenyataan PTPTN pada tahun ini , program CSR melibatkan dua aktiviti iaitu program membeli belah baju raya dan berbuka puasa.
PTPTN turut meraikan anak-anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah (PKNA) dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel di Pulau Pinang.
Program tersebut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan, Azhar Ahmad; Pengasas dan Pengurus Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah (PKNA), Muhammad Muhsin Abdul Rahman dan dan Pengurusan PTPTN.
Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan, PTPTN turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,400.00 kepada 24 anak-anak yatim dan asnaf dengan setiap orang menerima RM100.00 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Norliza turut memberikan sumbangan peribadi kepada 24 anak-anak yatim dan asnaf tersebut.
Selain itu, setiap penerima sumbangan juga mendapat beg sekolah dan kuih raya. – UTUSAN