Proses rakam keterangan Ismail Sabri ditangguh Jumaat

Proses rakam keterangan Ismail Sabri ditangguh Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatannya.

Menurut sumber, keterangan Ismail Sabri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan direkodkan pada Jumaat ini.

“Proses merekod percakapan beliau (Ismail Sabri) esok ditangguhkan pada 10 pagi, Jumaat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Beliau ada MC (sijil cuti sakit). Penangguhan kerana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu yang rendah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media semalam melaporkan Ismail Sabri akan hadir untuk direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes berkenaan.

“SPRM telah merakam keterangan 31 saksi dalam kes terbabit selepas menerima aduan pada awal tahun lepas,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah menghantar kepada SPRM maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM dilapor telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya