PUTRAJAYA: “Setelah lima tahun menunggu, saya rasa proses menunggu itu jauh lebih teruk daripada hari keputusan.”
Itu luahan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui pada hari kedua pendengaran rayuannya berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau juga optimis dengan prosiding yang berlangsung pada hari ini dan berharap semua pihak di luar sana dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Masuk hari kedua perbicaraan rayuan. Setiap apa yang berlaku semalam, saya (dapat) rasa pengumumannya sangat baik. Hari ini adalah hujahan pihak pendakwaan sebelum pihak saya memberikan respon balas.
“Saya sangat berharap (dan) saya optimis. Saya juga menaruh harapan sepenuhnya dan nasib saya di tangan
Allah SWT serta kepada fakta dan data yang telah pun dibentangkan dan akan dibicarakan oleh para Yang Arif Hakim yang disegani dan dihormati.
“Saya hanya mohon sahabat-sahabat yang menonton, yang datang ke sini dan juga yang di luar untuk tolong doakan supaya kebenaran dan keadilan menang. Itu saja pinta dan permohonan saya,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki Mahkamah Rayuan di sini.
Semalam, Mahkamah Rayuan mula mendengar hujahan daripada pihak pembelaan Syed Saddiq yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berkata demikian ketika prosiding bermula pada pukul 12.15 tengah hari.
Ahmad Zaidi berkata, mahkamah akan mendengar hujahan Syed Saddiq selaku perayu terlebih dahulu yang kemudian hujahan daripada pihak pendakwaan selaku responden disambung hari ini.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan. – UTUSAN