GEORGE TOWN : Lebih 6,000 penduduk di Seberang Perai Selatan (SPS) bakal menikmati perlindungan lebih baik daripada bencana banjir menerusi Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi yang sedang giat dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek bernilai RM231.2 juta itu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi.
“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh daya tahan komuniti terhadap banjir, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Kampung Jawi, Taman Sungai Duri Indah, Pekan Jawi dan beberapa kawasan lain,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Lembangan Sungai Jawi sering mengalami banjir sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda serta menjejaskan kehidupan penduduk.
Menurut Zairil, projek yang dimulakan pada 8 Februari 2024 itu ketika ini telah mencapai kemajuan sebanyak 8.06 peratus iaitu sehingga 28 Februari lalu.
“Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh Loyal Engineering Sdn. Bhd., dengan beberapa komponen utama termasuk pembinaan rumah pam, kolam tadahan, tidal control gate, penaiktarafan struktur sungai serta kerja-kerja pendalaman sungai,” ujar beliau.
Zairil berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan kekerapan banjir, malah, mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian dan perumahan.-UTUSAN