GEORGE TOWN: Projek kolam takungan banjir bawah tanah pertama di Pulau Pinang kini telah mencapai kemajuan kerja sehingga 81 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau telah melawat tapak projek itu di Solok Van Praagh, Jelutong kelmarin untuk meneliti perkembangan projek tersebut ketika ini.
Katanya, selain Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ooi Soon Lee, turut-serta dalam lawatan kerja itu ialah beberapa wakil daripada agensi yang berkaitan.
“Projek ini akan menampilkan kolam takungan banjir bawah tanah pertama di Pulau Pinang.
“Apabila siap kelak, ia akan membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan kritikal seperti Solok Van Praagh, persimpangan Jalan Van Praagh, Jalan Sir Ibrahim, Lengkok Hijau, dan Lintang Slim,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Umumnya, projek itu melibatkan kerja-kerja pembinaan dua takungan banjir menyamai kolam renang bersaiz Olimpik yang mempunyai kapasiti 5,175 meter padu dengan keluasan 2,200 meter persegi.
Mengikut perancangan asal, projek terbabit juga dilengkapi dua saluran lencongan masing-masing sepanjang 80 meter dan 50 meter yang bertujuan mengalirkan air dari Jalan Hamilton dan Jalan Van Praagh ke kolam takungan berkenaan.
Difahamkan, projek bernilai RM5.71 juta yang bermula Jun 2022 itu sepatutnya siap pada 31 Mei tahun lepas.
Bagaimanapun, ia tertangguh atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. – UTUSAN