PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang projek untuk kepentingan rakyat tetap diteruskan sama ada peruntukan bagi tujuan itu disalurkan melalui ahli Parlimen atau tidak.
Perdana Menteri berkata, sebagai contoh program pembasmian kemiskinan tegar dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kawasan tersebut di bawah ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang.
Ini kerana kata beliau, projek-projek seumpama itu adalah projek asas termasuk projek membaik pulih tandas sekolah yang sudah dilaksanakan sebelum ini.
“Soal peruntukan (ahli Parlimen pembangkang), saya tegaskan semula, sama ada melalui ahli Parlimen atau tidak, projek rakyat diteruskan.
“Umpamanya pembasmian kemiskinan tegar itu menyeluruh tanpa mengira kawasan, itu juga projek-projek asas seperti beberapa tahun lalu kita baiki tandas sekolah, kita tak tanya sekolah mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ihya’ Ramadan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini semalam.
Anwar berkata, setiap ahli Parlimen memperoleh pendapatan keseluruhan mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan termasuk jumlah elaun yang diterima.
Dalam hal ini, beliau menempelak sikap ahli Parlimen pembangkang yang memberi gambaran seolah-olah pendapatan mereka tidak mencukupi kerana tidak mendapat peruntukan sewajarnya sebagai ahli Parlimen.
“Semalam saya beri penjelasan tentang elaun ahli Parlimen, sebab ramai ahli Parlimen pembangkang menceritakan betapa susahnya hidup mereka kerana tak dapat peruntukan, jadi saya jelaskan dua perkara.
“Pertama, pendapatan mereka keseluruhannya itu di antara RM30,000, memang mencecah lebih daripada RM40,000 sebulan. Elaun tetap sekitar RM25,700, kemudian elaun sidang (sidang Parlimen), elaun mesyuarat Jawatankuasa Parlimen, elaun perjalanan.
“Jadi keseluruhannya lebih daripada RM30,000 dan saya ingat RM40,000. Ada yang lebih sikit kalau dia duduk jauh. Tetapi yang saya nak tekankan, janganlah bagi gambaran seolah-olah terlalu sukar kerana ramai rakyat lain tak ada elaun perjalanan,” katanya.
Semalam, Anwar meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya hadir dan duduk di meja rundingan berhubung syarat memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk pembangkang.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial mengadakan pertemuan dengan pemimpin institusi pondok dari Kelantan di Putrajaya dan mengadakan perbincangan isu semasa.
Menurut Anwar, pertemuan itu adalah lanjutan daripada jemputan yang diberikannya kepada mereka pada majlis berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.
Dalam pertemuan itu kata Anwar, pelbagai perkara dibincangkan termasuk perkembangan Islam dan pembangunan ummah, serta pentingnya dasar Islam dalam pendidikan diperkukuhkan.
Pada masa sama, kata perdana menteri, mereka menyampaikan pandangan dan nasihat khususnya berkaitan pendidikan turath serta cadangan memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia. – UTUSAN