KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) merancang memperluas Projek Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 50 lokasi baharu di seluruh negara, tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, projek tersebut yang diperkenal sejak tiga tahun lalu telah dilaksanakan di 200 lokasi bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar.
Katanya, projek itu yang menggunakan teknologi fertigasi dan hidroponik mendapat kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).
“Kemas menyediakan peruntukan antara RM10,000 hingga RM15,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berminat mengusahakan projek tersebut,” katanya selepas Program Desa Cerdas Kampung Pulau Manis, Serada di sini, semalam.
Hanafiah berkata, jenis tanaman yang diusahakan mengikut kesesuaian lokasi projek berkenaan.
“Secara puratanya, setiap projek berkenaan yang melibatkan seramai 15 peserta memberikan pulangan pendapatan antara RM1,000 ke RM15,000,” katanya. – UTUSAN