GEORGE TOWN: Projek perluasan dan menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berjalan lancar dengan kemajuan ketara dalam pelbagai pakej kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu bertujuan meningkatkan infrastruktur serta kapasiti operasi lapangan terbang bagi menampung pertambahan penumpang.
Katanya, tiga pakej utama telah dirancang iaitu melibatkan kerja-kerja persediaan, penaiktarafan kemudahan di kawasan udara serta pembinaan terminal baharu.
“Bagi Pakej Kerja Pertama (WP1), kontrak bernilai RM107.9 juta telah dianugerahkan kepada Gagasan Maya Sdn. Bhd. pada September 2024. Sehingga 15 Februari lalu, projek ini telah mencapai 31 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap pada November 2025.
“WP1 merangkumi pembinaan Bangunan Sokongan, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Pos Kawalan AVSEC,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zairil, LTAPP akan menjadi lapangan terbang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan Menara Digital Maya Jauh (Remote Digital Virtual Tower atau RDVT).
“Bagi Pakej Kerja Kedua (WP2) pula, kerja-kerja pembinaan fizikal dijangka bermula pertengahan April 2025 di mana projek bernilai RM254.6 juta ini telah dianugerahkan kepada Acre Works Sdn. Bhd. Disember lalu.
“WP2 ini secara umumnya memberi tumpuan kepada kerja-kerja naik taraf apron lapangan terbang, laluan teksi (taxiway), sistem saliran, pemindahan utiliti serta infrastruktur berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, Pakej Kerja Ketiga (WP3) melibatkan pembinaan terminal baharu serta pengubahsuaian terminal sedia ada dijangka dibuka untuk tender pada April 2025.
“Terminal baharu ini dijangka mula beroperasi pada 2027, manakala keseluruhan projek perluasan ini siap sepenuhnya pada 2028,” katanya.
Zairil berkata, perluasan LTAPP akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan serantau utama serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Lapangan terbang yang lebih moden dan canggih bukan sahaja meningkatkan pengalaman penumpang tetapi turut menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” katanya. – UTUSAN