GEORGE TOWN : Projek Pakej Dua yang menghubungkan Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini dijangka siap menjelang tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan, dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ketika ini, projek yang menelan belanja RM851.04 juta itu berjalan lebih pantas daripada jadual asal.
Katanya, kemajuan pembinaan yang kini sudah mencapai 73 peratus setakat 28 Februari lalu mencerminkan pelaksanaan cekap serta kerjasama erat antara semua pihak yang berkepentingan.
“Setakat ini, kami berpuas hati dengan kemajuan projek ini. Kami sedang memasang beberapa rasuk di Jalan Sultan Azlan Shah, dengan setiap satu seberat 140 tan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak enam rasuk akan dipasang di kawasan ini, dengan tiga rasuk akan menyokong setiap sisi laluan,” katanya selepas melakukan lawatan tapak di Gelugor, malam tadi.
Projek Pakej Dua itu dikendalikan oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) dengan pelaksanaannya pula diserahkan kepada syarikat Consortium Zenith Construction (CZC).
Ia melibatkan tiga persimpangan utama iaitu Persimpangan Satu (di Lebuhraya Thean Teik), Persimpangan Dua (Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah), dan Persimpangan Tiga (di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu), dengan reka bentuk termasuk simpang “left in-left out” serta pusingan U bertingkat.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu daripada 40 minit kepada hanya 10 minit.
Menurut Zairil, selain Jalan Sultan Azlan Shah, pemasangan rasuk itu juga akan diteruskan di lokasi utama lain termasuk Jalan Bukit Gambir.
“Walaupun kita mendahului jadual, saya menggesa kontraktor untuk memastikan keselamatan tetap menjadi keutamaan.
“Sebaik sahaja rasuk dipasang, kerja-kerja pemasangan jaring keselamatan dan papak dek akan diteruskan untuk menyokong struktur serta mencegah bahaya serpihan,” katanya yang memberitahu, aspek keselamatan dalam pembinaan infrastruktur itu sentiasa dititikberatkan. – UTUSAN