KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor kini mencatat kemajuan sebanyak 79 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Katanya, struktur pembinaan berjalan lancar dengan perkembangan yang amat memberangsangkan sejak majlis pecah tanah pada Jun tahun lalu.
“Kita baru sahaja selesai majlis pecah tanah pada Jun tahun lalu. Dalam tempoh kurang daripada sembilan bulan, kemajuan projek ini dapat dilihat dengan jelas.
“Saya diberitahu ia akan siap pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di TBG di sini, hari ini.
Mengulas jarak antara Stesen ECRL Terminal Gombak dan LRT Gombak, Anthony berkata, ketersambungan antara kedua-dua stesen adalah sejauh 79 meter, manakala jarak ke TBG pula sekitar 100 meter.
Beliau berkata, kementerian kini memfokuskan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna dengan menambah baik ketersambungan antara stesen serta memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih efisien dan selesa.
“Sekarang ini, apa yang kita mahu lakukan ialah meningkatkan pengalaman pengguna. Oleh itu, kami akan memberi perhatian khusus terhadap aspek ketersambungan antara ketiga-tiga stesen ini,” katanya.
Untuk rekod, ECRL sepanjang 665 kilometer yang bermula dari Kota Bharu hingga Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen, terdiri daripada 10 stesen penumpang serta 10 lagi stesen menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang. – UTUSAN