BESUT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menyasarkan jualan pasar tani sebanyak RM150,000 melalui Program Semarak Syawal di tiga Pasar Tani Kekal (PTK) dan dua pasar tani biasa.
Pengarahnya, Muhamad Fadlee Hassan berkata, lima lokasi utama PTK terlibat adalah Pasar Tani Kuala Berang di Hulu Terengganu, Pasar Tani Hiliran, PTK Chendering di Kuala Terengganu, Pasar Tani Chukai di Kemaman dan Pasar Tani Jertih di sini.
“Setiap PTK ini kita sasarkan jualan RM30,000 dan dengan Jualan Semarak Syawal ini mampu memberi penjimatan RM45,000 bagi keseluruhan PTK dan setiap daripadanya mampu mencapai penjimatan sehingga RM9,000.
“Program ini menawarkan penjimatan 10 hingga 30 peratus kepada pelanggan yang membeli barangan sebagai persediaan awal untuk sambutan raya,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal di Jertih di sini hari ini. – UTUSAN