PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisi berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2025.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza berkata, IMRAN merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermula sejak tahun 2021 dengan objektif mengeratkan hubungan antara PTPTN dan institusi pendidikan, selain memupuk nilai kebersamaan serta kasih sayang dalam masyarakat.
“Program ini bukan sahaja membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan, tetapi juga mengukuhkan hubungan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama erat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, program yang memasuki tahun kelima ini akan berlangsung dari 5 hingga 20 Mac di 15 buah Universiti Awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan sekolah terpilih di seluruh negara.
“Aktiviti seperti penyediaan bubur lambuk, bubur manis dan juadah berbuka puasa akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh warga PTPTN bersama pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta kakitangan institusi pendidikan,” katanya.
Katanya, lebih 10,000 masyarakat dan pelajar dijangka menerima sumbangan juadah berbuka puasa tahun ini, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan.
“PTPTN berharap kolaborasi seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar serta masyarakat menerima manfaatnya,’ katanya. – UTUSAN