PETALING JAYA: Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Anuar Tafsir @ Masduki dilaporkan meninggal dunia pada pukul 9.28 pagi tadi pada usia 79 tahun.
Menurut anak bongsu Allahyarham, Norma Syaneda Anuar, 47, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Pusat Perubatan Subang Jaya.
“Allahyarham disahkan menghidap kanser limfoma dan telah dimasukkan ke hospital kira-kira tiga minggu lalu akibat jangkitan denggi.
“Selepas dibenarkan keluar, beliau kelihatan lemah dua hari kemudian, jadi kami segera membawanya semula ke hospital dan doktor mendapati terdapat jangkitan di bahagian otak,” katanya.
Menurut Norma, solat jenazah bapanya diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, selepas solat Zuhur.
Katanya, Allahyarham dijangka bakal dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.
Anuar merupakan Pakar Kardiologi Peribadi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau memperoleh Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Malaya (UM) pada 1971, sebelum melanjutkan pengajian ke Royal College of Physicians, United Kingdom pada 1975.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UM, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Kewangan & Pembangunan) UM, serta beberapa jawatan pentadbiran di hospital swasta.
Allahyarham dilantik sebagai Pro-Canselor Unisel sejak 1 Ogos 2009.-UTUSAN