KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan mengumumkan rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, parti itu mengamalkan sifat terbuka dan perbincangan secara tertutup telah banyak dilakukan mengenainya.
“Maka, saya rasa suka atau tidak dalam masa terdekat ini, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri, kita perlu buat keputusan mengenai rakan gabungan yang akan bersama-sama kita menghadapi PRN Sabah.
“Saya rasa selepas bulan Ramadan dan hari raya ini, semua parti politik perlu membuat pendirian secara serius dan memutuskan rakan kerjasama,” katanya pada majlis berbuka puasa Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), di sini semalam.
Beliau berkata, beberapa indikasi mengenai rakan kerjasama UMNO telah pun dibuat dan selepas pengumuman itu nanti, perkara yang terbesar perlu difikirkan adalah tentang agihan kerusi.
Jelas beliau, gabungan kerjasama sebelum pilihan raya menjanjikan lebih kestabilan berbanding membentuk kerjasama selepas pilihan raya.
Katanya, gabungan kerjasama yang dibentuk selepas pilihan raya menyebabkan perpecahan undi dan seterusnya memberi ruang kepada pihak ketiga untuk memperoleh undi dan seterusnya memenangi kerusi.
“Kestabilan politik melebihi segala-galanya maka kita mesti bekerjasama dengan parti-parti lain. Kita mahu UMNO berunding mengenai kerjasama dengan kekuatan yang ada, kita bukannya parti kosong,” katanya lagi. – UTUSAN