KOTA BHARU: Pas melihat tiada keperluan untuk parti itu tidak meletakan calon dan seterusnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagaimana nasihat yang diberikan oleh Parti Amanah Negara (Amanah).
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
“Amanah tiada hak untuk suruh kita (Pas) tarik diri. Ini sebahagian demokrasi, buang masa apanya. Atas kertas berpihak kepada Barisan Nasional (BN), keputusan sebenar belum lagi keluar.
“Saya lihat kedua-dua pihak yang bertanding mempunyai peluang untuk menang. Apa sahaja boleh terjadi pada PRN itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pas dinasihatkan agar tidak membuang masa dengan meletakkan calon bertanding dalam PRK DUN Ayer Kuning.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pertandingan yang tidak menjamin kemenangan hanya akan merugikan Pas susulan parti itu pernah bertanding di kerusi berkenaan sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) namun semuanya berakhir dengan kekalahan.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, Pas sedia mempertaruhkan calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam usaha merampas semula kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).
Katanya, pendekatan itu dilihat sesuai apabila lebih 40 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda.
“Sabtu ini kita (Pas Pusat) akan menerima senarai calon dari Pas Perak untuk diserahkan kepada Pas Pusat bagi dipertimbangan sebelum diputuskan.
“Bagaimanapun kita akan terima pandangan Pas Perak dan hasil perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membuat keputusan berkait dengan PRK Ayer Kuning,” ujarnya.-UTUSAN