PRK DUN Ayer Kuning jadi penentu kekuatan Kerajaan Perpaduan

PRK DUN Ayer Kuning jadi penentu kekuatan Kerajaan Perpaduan

REEZAL Merican (kanan) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Kekuatan parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan dijangka ‘teruji’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican berkata, keserasian dan kebersamaan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berjaya memacu kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam dua PRK DUN iaitu Nenggiri dan Mahkota.

Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, bagaimanapun, kedua-dua parti gabungan itu tidak boleh terlalu yakin, sebaliknya, perlu terus bersatu hati bagi memastikan kemenangan seterusnya berpihak kepada mereka.

“Secara umumnya, kawasan (DUN) Ayer Kuning ni adalah kawasan yang kita lihat mempunyai kelebihan. Tetapi, kita tidak mahu ‘dabik dada’ dan tetap menganggap mana-mana PRK itu sebagai pilihan raya yang penting.

“Apapun, kita akan usahakan dulu (untuk menang). Ya, kadang-kadang ramai pihak yang mempertikaikan (kerjasama Kerajaan Perpaduan). Tetapi, inilah masa untuk membuktikannya (kekuatan parti dalam Kerajaan Perpaduan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bertam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, UMNO Pulau Pinang khususnya cawangan Bertam akan menggerakkan jenteranya bagi memberi sokongan dan membantu kempen calon BN yang akan diumumkan pada PRK berkenaan, 7 April nanti.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning jatuh pada 26 April depan manakala hari penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya