PRK DUN Ayer Kuning: 'Analisis calon pilihan BN hampir selesai'

PRK DUN Ayer Kuning: ‘Analisis calon pilihan BN hampir selesai’

ZAMBRY Abd. Kadir (duduk, dua dari kanan) ketika menghadiri Program Kembara Ramadan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Barisan Nasional (BN) kini sedang meneliti senarai pendek bakal calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, 26 April depan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dalam hal ini, parti itu tidak mempunyai banyak masalah untuk mendapatkan calon yang sesuai kerana terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk dipilih ketika ini.

Pada masa yang sama katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad juga sudah melakukan penilaian sewajarnya dalam soal pemilihan calon.

“Kita sudah hampir selesai menganalisisnya (calon pilihan). Bukan sahaja (menganalisis) berdasarkan satu perspektif tetapi penilaian yang dibuat secara menyeluruh.

“Kita mahu mereka yang boleh bekerja, seperti yang sering ditekankan oleh presiden kita (Ahmad Zahid) dan mereka (calon yang dipilih) perlu ada kualiti dan boleh menang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya tidak mengecualikan sesiapa atau meletakkan syarat khusus sama ada calon tersebut seorang wanita, belia atau mana-mana ahli jawatankuasa parti di peringkat bahagian dan sebagainya.

“Hal ini demikian kerana, pada akhirnya, kita hanya mahukan calon yang benar-benar boleh menyumbang, sebagaimana calon sebelum ini yang telah menunjukkan prestasi dan khidmat yang berkesan kepada rakyat,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, akibat serangan jantung ketika menyertai satu kejohanan bola sepak di Pulau Pinang, 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, Ishsam yang bertanding atas tiket BN ketika itu menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru yang turut membabitkan empat calon lain iaitu daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanahair serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya