PRK Ayer Kuning: UMNO kemuka lapan nama calon, dua tarik diri - Utusan Malaysia

PRK Ayer Kuning: UMNO kemuka lapan nama calon, dua tarik diri

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) melawat kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. pada majlis perasmian pembukaan kilang tersebut di Kamunting di Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPING: Lapan nama di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk dipilih calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, kini hanya tinggal enam pilihan memandangkan dua daripada barisan kepimpinan tersebut telah memberitahunya untuk menarik diri.

Katanya, lapan mereka itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.

“Lapan nama kita akan hantar. Saya beritahu lapan nama ini hendaklah dipersetujui. Kita hantar untuk dipilih oleh Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).

“Tetapi jika daripada lapan itu ada kalangan mereka yang berhasrat untuk menarik diri. Boleh WhatsApp kepada saya. Setakat ini sudah dua orang WhatsApp pada saya (menarik diri). Bermakna kini tinggal enam nama yang dipertimbangkan. Itu pun bergantung jika kemungkinan ada lagi yang WhatsApp kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. di Kamunting, dekat sini hari ini.

PRK bakal diadakan susulan Ahli DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari lalu dan PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis rasmi kekosongan kerusi.

Dalam pada itu Saarani berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Pakatan Harapan (PH) pada minggu depan memandangkan calon yang dipertaruhkan merupakan wakil Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama BN dan PH.

Beliau juga berkata, meskipun tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian belum diumumkan oleh SPR, BN dan UMNO akan terus menggerakkan jentera parti sama ada mesyuarat atau majlis perjumpaan di bulan Ramadan ini.

“Saya yakin apabila calon diumumkan, dia akan mendapat sokongan daripada semua. Dalam janji kita, daripada lapan nama yang saya hantar itu satu saja yang akan dapat. Yang lain tujuh itu akan bertungkus-lumus untuk memenangkannya. Saya tiada bimbang tentang masalah calon,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya