BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya merampas 171 unit barang tiruan berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM36,642 dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Bandar Perda di sini, semalam.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut disertai oleh dua wakil pengadu daripada syarikat Global Trade Shields (GTS) iaitu pemilik berdaftar kepada beberapa jenama barangan mewah tersebut.
Katanya, hasil pemerhatian mendapati, antara barangan berjenama mewah yang dijual termasuk beg tangan, kasut, dompet dan tudung.
“Lima jenama terkenal yang berdaftar di bawah GTS iaitu Louis Vuitton (LV), Yves Saint Laurent (YSL), Gucci, Balenciaga dan Chanel turut dipamerkan untuk jualan di premis terbabit.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati, barangan-barangan tersebut menggunakan jenama berkenaan secara tidak sah sekaligus melanggar Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815). Sehubungan itu, sitaan dan rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, pemilik premis iaitu seorang wanita tempatan turut hadir ke lokasi selepas dihubungi untuk memberikan kerjasama dalam siasatan kes itu.
“Sabit kesalahan, denda tidak lebih RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan manakala denda yang dikenakan bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula adalah tidak melebihi RM30,000.
“Sementara itu, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, maka, denda tidak melebihi RM10,000 boleh dikenakan selain hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya yang memberitahu, untuk kesalahan berulang, denda maksimum yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi RM20,000.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti penjualan barangan tiruan yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi berisiko membahayakan pengguna serta memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tersebut boleh menyalurkannya kepada pihak KPDN melalui beberapa saluran yang telah ditetapkan sebelum ini termasuk melalui portal e-aduan dan sebagainya,” kata beliau. – UTUSAN