KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Harris Alif, 26, menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan populariti dan pembabitannya dalam dunia seni semakin menurun selepas mendirikan rumah tangga.
Kata Harris, malah pembabitannya dalam bidang tersebut masih berterusan dan dia tidak merasakan dirinya dilupakan meskipun kini sudah bergelar suami dan bapa kepada dua cahaya mata.
“Saya tidak merasakan populariti saya menyusut. Bahkan saya, sejak awal masuk dalam dunia seni tidak pernah pun meletakkan populariti sebagai perkara yang saya kejarkan.
“Jadi artis ini adalah untuk kepuasan diri sendiri. Tambah lagi saya memang suka dengan kerja-kerja seni, isteri juga orang seni.
“Jadi, saya boleh kata pembabitan kami dalam dunia seni, masih berterusan. Tidaklah merudum. Cuma sekarang saya yang putuskan untuk perlahankan sedikit kerja seni,” katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan program Ramadan RTM baru-baru ini.
Harris pada 5 Februari 2021 menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon Intan Ladyana.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Evie Khadeeja dan Harris Umayr.
Dalam perkembangan lain, Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi berharap dia tidak lagi ditawarkan watak pelajar sekolah meskipun dianggap masih sesuai membawakan karakter-karakter berkenaan.
“Tentu sekali saya inginkan pembaharuan. Sejak kecil saya asyik diberikan watak sama.
“Kalau boleh saya mahu lakonkan watak yang lebih dewasa dan mencabar, barulah nampak peningkatan pada graf kerjaya lakonan saya,” jelasnya. – UTUSAN