BARU-BARU ini kecoh tentang penyanyi yang popular tetapi tidak mempunyai killer songs. Kiranya, populariti dan kerjayanya seninya sedikit tempang serta tidak selari. Begitulah pemahaman Poklip.
Yelah, jika bukan kerana lagu atau perihal kerjaya yang diperkatakan sehingga boleh mencipta populariti, atas sebab apa sahaja selain kontroversi dan sensasi yang boleh memancing perhatian umum?
Masakan kalau tidak ada lagu malar segar, nama seseorang penyanyi itu boleh meniti di bibir peminat industri hiburan jika bukan kerana kontroversi? Bukankah begitu logiknya. Tetapi maaf, Poklip tidak bercakap tentang Aina Abdul.
Walaupun artikel itu ditujukan untuk dia, tetapi secara peribadi Poklip menganggap Semalam, Terus Hidup dan Sumpah sebagai antara lagu yang boleh dianggap sebagai killer songs dalam diari seni Aina.
Cuma Poklip tidak bercakap tentang industri seni muzik, sebaliknya Poklip tertanya-tanya, pelakon-pelakon yang popular, adakah mereka mempunyai signature role atau watak ikonik menerusi naskhah lakonan mereka?
Sebagai contoh, sebut sahaja nama Maya Karin, kita sudah terbayang wataknya sebagai pontianak dalam Pontianak Harum Sundal Malam (2004) atau seekor duyung dalam Duyung (2008).
Erra Fazira dalam Maria Mariana (1996), Hingga Hujung Nyawa (20041) dan Cinta Kolestrol, itu baru tiga filem yang berjaya meletakkan Miss Malaysia-World 1992 di aktres papan atas industri seni tempatan.
Kalau sebut aktor pula, senarai namanya juga panjang. Allahyarham Azmil Mustapaha menerusi filem Ali Setan (1985), Nasir Bilal Khan (Perempuan, Isteri dan … 1993), Aqasha (Embun 2002) dan banyak lagi.
Populariti mereka kekal sehingga sekarang seiring dengan watak ikonik yang dilakonkan menerusi filem dan drama masing-masing. Itu sama sekali tidak menimbulkan apa-apa ‘kekeliruan’.
Cuma kita tidak dapat menafikan, beberapa pelakon tidak kira lelaki atau perempuan, hanya mengulit kejayaan dan populariti tanpa ada signature role yang boleh dibanggakan? Bukankah itu sama maksudnya dengan killer song?
Ada nama-nama yang tidak perlu Poklip sebutkan hanya bergantung kepada kontroversi dan serpihan populariti dek sensasi yang sengaja dicetuskan. Bila nama semakin suram, mulalah ada ‘drama’ baharu.
Sebab itu wujudnya perseteruan, pergaduhan antara satu sama lain sebab sudah tidak ada cerita lain yang mahu diangkat selain sensasi. Kalau mahu jual bakat, tak seberapa sebab tiada yang ingat.
Bukanlah Poklip mahu mengatakan wujdunya mereka ini ‘merosakkan’ industri seni. Ada pentingnya juga mereka ini untuk menambah garam, gula dan rencah dalam dunia hiburan tanah air.
Poklip juga tidak bermaksud, jika tiada signature role, seseorang itu tidak layak bergelar pelakon. Tidak adil untuk kita pukul rata. Tidak semua mempunyai ‘rezeki’ itu. Ada yang sudah berhempas pulas, masih di kedudukan sama.
Maka, sebagai peminat, kita beri sokongan asal mereka ikhlas mahu memperjuangkan bakat. Kalau sekadar hadir hanya untuk celup-celup manja kaki dalam air, tak apalah. Boleh perlahan-lahan berundur.
Paling penting, tak payah nak jual gimik murahan. Bosanlah!