SHAH ALAM: Tidak sempat bersahur dan penat melakukan kerja berat antara alasan popular kaki ponteng puasa yang dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negeri ini.
Sehingga kini, seramai 35 individu ditahan termasuk melibatkan sebuah restoran di sekitar Subang, Khamis lalu.
Penolong Pengarah Kanan Unit Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Nor Faisal Mohd. Leman berkata, operasi terbaharu pihaknya itu menahan 15 lelaki yang disyaki tidak menghormati Ramadan.
Katanya, pemeriksaan dilakukan hasil maklumat awam berkaitan restoran itu yang dijadikan port bagi individu tidak berpuasa.
“JAIS melakukan intipan selama dua minggu ke atas premis individu yang makan, minum dan menghisap rokok secara terbuka itu. Kebanyakkan mereka memberi alasan tidak bersahur dan melakukan kerja-kerja berat,” katanya hari ini.
Menurut Nor Faisal, kes itu disiasat mengikut Seksyen 19 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN