SHAH ALAM: Polis menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan kes seorang guru lelaki yang didakwa menjalin hubungan dengan murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Dengkil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan itu menjadi dokumen penting sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
“Siasatan hampir selesai dan kita hanya menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum melengkapkan kertas siasatan.
“Setakat ini, keterangan enam saksi sudah dirakam melibatkan mangsa dan bapanya, seorang guru dan dua pelajar lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurut Hussein, polis turut merampas telefon bimbit milik mangsa dan suspek bagi analisis lanjut.
Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa merupakan pelajar cemerlang, aktif dalam kokurikulum dan tiada masalah disiplin di sekolah.
“Suspek juga tiada rekod salah laku disiplin dan memperoleh penilaian prestasi tinggi sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai guru. Lelaki itu merupakan seorang duda dan bapa kepada tiga anak,” ujarnya.
Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan laporan polis dibuat bapa mangsa pada 26 Februari lalu selepas menemui mesej mencurigakan antara anaknya dengan guru berkenaan.
Guru itu dipercayai kerap menghubungi mangsa menerusi aplikasi dalam sosial dalam keadaan meragukan yang didakwa mencerminkan hubungan biasa antara guru dan murid.
Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). – UTUSAN