Polis tumpaskan sindiket penyeludupan migran Geng Herman

Polis tumpaskan sindiket penyeludupan migran Geng Herman

SERAMAI 34 lelaki dan 12 wanita warga Indonesia ditahan, dengan sebahagian mereka dipercayai menjadi mangsa penyeludupan migran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai Geng Herman akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah transit di Puncak Alam, Selangor yang dijadikan tempat penampungan sebelum migran dihantar ke pantai untuk menaiki bot ke Indonesia.

Dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian D3 (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 5 Mac lalu sekitar pukul 7 malam, seramai 46 warga Indonesia berjaya ditahan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket itu menggunakan premis rumah teres yang disewa di pinggir kota sebagai lokasi transit bagi menyembunyikan migran, sementara menunggu waktu sesuai untuk dihantar ke perairan pantai barat Semenanjung.

“Migran tersebut ditempatkan di rumah transit terlebih dahulu sebelum dibawa ke kawasan pantai untuk menaiki bot utama yang akan membawa mereka pulang ke Indonesia melalui laluan laut yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu, seramai 34 lelaki dan 12 wanita warga Indonesia ditahan, dengan sebahagian mereka dipercayai menjadi mangsa penyeludupan migran.

“Polis turut mengesan bayaran antara RM1,400 hingga RM1,800 yang dikenakan oleh tekong darat kepada setiap migran untuk mengatur perjalanan mereka keluar masuk ke Malaysia secara haram.

“Kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 bagi mengenal pasti dalang utama sindiket terbabit,” katanya. 

Menurutnya, polis sedang giat mengesan saki-baki ahli sindiket itu bagi memastikan tiada lagi aktiviti penyeludupan migran menggunakan modus operandi sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya