GEORGE TOWN: Seorang lagi wanita tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa pakar forensik di sebuah hospital kerajaan di sini, yang telah ditahan polis buat kali kedua kelmarin kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakitnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan laporan diterima berhubung kes membabitkan doktor lelaki berusia 43 tahun itu kini bertambah kepada tiga.
“Mangsa ketiga merupakan wanita warga asing berusia 25 tahun. Dia membuat laporan polis semalam dan memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada 20 Februari lalu, kira-kira pukul 9.15 malam di hospital tempat doktor pakar tersebut bertugas,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, suspek yang telah berkahwin itu ditahan pada 26 Februari kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya. Bagaimanapun, doktor itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman berakhir, Ahad lalu.
Kelmarin, suspek sekali lagi ditahan atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.
Suspek diberkas kira-kira pukul 9.15 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Timur Laut dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Menurut Swee Sake, dalam kes terbaharu, suspek didakwa meminta mangsa pergi ke hospital bagi mengambil laporan ujian darah.
“Suspek telah memperdaya mangsa kononnya mangsa ada penyakit jantung dan memerlukan pemeriksaan lanjut. Suspek meminta mangsa menanggalkan pakaian dan suspek berlakon seperti membuat pemeriksaan jantung.
“Malah, selepas itu dia meminta mangsa berlari setempat dan turut merakam perbuatan mangsa dengan menggunakan telefon bimbit,” katanya. – UTUSAN