KEPALA BATAS: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai di sini, Sabtu lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, terdahulu, seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV ditahan di kawasan Plaza Tol Sungai Dua arah selatan kira-kira pukul 9.20 pagi pada hari kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan tujuh buah guni berisi dadah jenis ganja seberat lebih 146 kilogram (kg) dan bunga ganja seberat lebih 1 kg selain sepucuk pistol jenis Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga pasang gari.
“Susulan tangkapan suspek pertama berusia 46 tahun itu membawa kepada penahanan suspek kedua yang berusia 24 tahun di Plaza Tol Simpang Ampat arah selatan kira-kira pukul 9.25 pagi, hari yang sama.
“Suspek (kedua) yang memandu kereta jenis Toyota Altis ini adalah ‘sweeper’ iaitu individu yang memastikan jalan yang dilalui suspek pertama lancar dan bebas daripada penguatkuasa.
“Turut dirampas susulan penahanan ini ialah wang tunai berjumlah RM5,710 dan barang kemas termasuk seutas rantai leher, tiga bentuk cincin dan dua pasang anting-anting.
“Ini sekaligus menjadikan nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM604,213,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara SPU) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua ‘transporter’ yang bekerja sebagai pemandu lori itu menerima upah sebanyak RM4,000 bagi setiap trip.
Katanya, suspek-suspek itu turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Malah, salah seorang daripada mereka juga didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.
“Kedua-duanya kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut mendapati, kesemua ganja terbabit diseludup dari Thailand dan akan dibawa ke kawasan Lembah Klang dan Kedah selepas ini.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini pula ialah dengan menyewa kereta untuk menjalankan kegiatan tersebut bagi mengelakkan daripada dikesan pihak polis,” katanya yang memberitahu, pihaknya sedang giat mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas ketika ini. – UTUSAN