Polis siasat pertubuhan didakwa amal komunisme

Polis siasat pertubuhan didakwa amal komunisme

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular yang mendakwa kewujudan sebuah pertubuhan tidak berdaftar dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengambil maklum video tular berdurasi dua minit dan 57 saat itu yang diterima oleh orang awam, kelmarin.

Katanya, video yang dihuraikan dengan suara latar bahasa asing itu mendakwa bahawa pertubuhan berkenaan mempunyai kecenderungan mempromosi fahaman dan amalan komunis di negara ini.

“Kita memandang serius dakwaan berkenaan memandangkan sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus atau terbuka adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia secara tegas sudah menolak ideologi komunis sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman itu boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 41 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan berkenaan dan dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol komunis dan unsur subversif.

Jelasnya, sebarang cubaan untuk mengujat kedaulatan negara atau menyemai fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan ditangani dengan tegas berdasarkan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan atau bahan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya