KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berhubung kakitangan stesen radio milik Astro didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya setakat ini menerima enam laporan polis di seluruh negara berkaitan kes terbabit.
Katanya, laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.
“Beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan ‘Vel,Vel’ manakala seorang lelaki sedang menari.
“Pengadu membuat laporan polis kerana perkara tersebut telah mempersendakan agama Hindu dan sensitiviti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini
Menurutnya, semakan terhadap video asal yang dimuat naik oleh pemilik stesen radio terbabit telah dipadamkan dan pihak tersebut telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui laman rasmi aplikasi Facebook Era FM.
Jelasnya, video tersebut telah ditonton sebanyak 95.4 ribu tontonan dan dikongsi sebanyak 204 kali.
“Susulan itu, kami menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan berhubung kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.
Menterinya, Fahmi Fadzil dilapor berkata, antara lain SKMM juga perlu memanggil semua yang terlibat termasuk pihak Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan penjelasan penuh.
“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.
“Jadi, saya arahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat SKMM,” katanya.
Media hari ini melaporkan penyampai radio rancangan 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.- UTUSAN