PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik akaun Tik Tok iaitu Gobalakrishnan yang didakwa memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan siasatan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam video terbabit, pemilik Tiktok ‘Gobalakrishnan’ dikesan membuat kenyataan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Sri Saifuddin Ismail Nasution bahawa mengaitkan isu rasuah Ahli Parlimen dengan mendakwa jika menyokong Kerajaan Madani, kes tersebut akan digugurkan dan sekiranya tidak, kes tersebut akan disiasat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan susulan satu laporan dibuat seorang lelaki mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 12.06 tengah hari semalam.
Katanya, pengadu berusia 63 tahun mengatakan dia terlihat video terbabit pada pukul 6 petang, kelmarin yang dimuat naik di Tik Tok Gobalakrishnan.
“Susulan iu, satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Sek 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988
“Kami akan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun Tik ToK Gobalakrishnan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, tular video Tiktok dengan nama Gobalakrishnan’ dikesan membuat kenyataan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Sri Saifuddin Ismail Nasution akan menggugurkan kes mengaitkan isu rasuah ahli Parlimen jika menyokong Kerajaan Madani.-UTUSAN