KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan rampasan dadah jenis syabu seberat 63.55 kilogram bernilai kira-kira RM 3 juta di Penampang, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dadah berkenaan ditemukan di bahagian belakang sebuah Toyota Land Cruiser di tempat letak kereta sebuah bangunan perniagaan pada pukul 9 malam, 27 Februari lalu.
“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan terhadap kenderaan yang dinaiki oleh dua lelaki tempatan, telah menemukan dan merampas empat buah kotak besar berisi bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu), dengan berat kasar keseluruhan 63.55 kilogram.
“Kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun, dipercayai berperanan sebagai transporter turut ditahan. Saringan awal air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kadar upah yang diterima untuk menghantar syabu dipercayai dibawa masuk melalui Semenanjung Malaysia itu hanya RM3,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Ketika ditangkap, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar dadah berkenaan ke tempat lain. Suspek dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah itu sejak lebih setahun lalu.
Jauteh berkata, hasil siasatan mendapati dadah dibawa masuk ke Sabah untuk pasaran negara jiran, Filipina melalui Sandakan. Bekalan dadah yang dirampas itu mampu menampung lebih 300,000 penagih.
Menurutnya, jika dadah berkenaan dijual di negara jiran nilainya boleh mencecah RM7.5 juta.
Turut dirampas sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser dan barangan yang disita pula adalah wang tunai bernilai RM899, barang kemas bernilai RM14,000, jam tangan serta beg berjenama bernilai RM13,500 serta dua buah kenderaan mewah bernilai RM160,000.
Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM3.24 juta. Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 7 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN