PETALING JAYA: Polis akan merujuk kertas siasatan lelaki yang mencederakan pelajar sekolah menengah akibat berselisih faham ketika memandu dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, dekat sini ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin selepas tempoh reman selama sehari tamat.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk ke TPR minggu ini,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang mencederakan pelajar sekolah menengah akibat berselisih faham ketika memandu dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, di sini, Jumaat lalu.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada pada 9.24 malam daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul seorang lelaki tidak dikenali.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pada 2.15 petang akibat perselisihan faham semasa memandu antara dua individu berkenaan.
“Akibat kejadian itu, remaja lelaki retak tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Naazron berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penasihat agensi pelancongan di sekitar Kajang kira-kira 9.50 malam bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya. – UTUSAN