KUALA LUMPUR: Sebanyak 35,368 kes penipuan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu dengan jumlah kerugian kira-kira RM1.6 bilion.
Jumlah tersebut meningkat kira-kira tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 34,495 kes dengan nilai kerugian RM1.2 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima kira-kira 41,701 laporan kes komersial dan sebanyak 84.5 peratus daripadanya membabitkan jenayah penipuan.
Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 24,388 serbuan dijalankan di seluruh negara.
“Ia membawa kepada penahanan seramai 25,829 individu yang dipercayai terlibat dalam jenayah komersial, termasuk penipuan manakala sebanyak 16,813 kes berjaya didakwa di mahkamah.
“Kami dapati kes semakin berkembang dalam pelbagai bentuk daripada penipuan telefon, penipuan SMS hingga ke tawaran pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi yang kini menjadi ancaman serius,” katanya ketika berucap di Majlis Pengiktirafan Wira Bank #JanganKenaScam 2025 di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.
Menurutnya, kerjasama antara PDRM dan sektor perbankan perlu diperkukuhkan dalam usaha menangani peningkatan kes penipuan.
Jelasnya, bank memainkan peranan penting dalam membantu siasatan bagi memantau transaksi kewangan mencurigakan serta menyediakan maklumat penting kepada pihak berkuasa.
“Untuk rekod, dari 2023 hingga tahun lalu, industri perbankan berjaya memintas dan menghalang transaksi dalam talian mencurigakan dan kes penipuan bernilai kira-kira RM780 juta.
“Walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan, masyarakat turut memainkan peranan penting dalam mencegah jenayah penipuan.
“Orang ramai digesa untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan baharu serta mengikut nasihat pihak bank dan polis.
“Jenayah penipuan dapat dicegah dengan usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat, teknologi keselamatan yang baik, dan kesedaran masyarakat yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, seramai 67 kakitangan bank diberi penghargaan atas usaha luar biasa mereka melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan scammer.
“Kumpulan penerima anugerah itu merupakan petugas dari 10 buah bank berbeza dan berjaya menghalang penipuan bernilai lebih RM12.4 juta,” katanya. – UTUSAN