Polis rampas 201 senjata api seludup sejak 2022

Polis rampas 201 senjata api seludup sejak 2022

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 201 senjata api tulen dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2022 hingga Januari lalu.

Difahamkan, senjata api terbabit diseludup masuk ke negara ini untuk dijual kepada kumpulan kongsi gelap dan penjenayah yang terlibat dalam kes dadah dan penyeludupan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia membabitkan 41 pucuk yang dirampas pada 2022, 59 pucuk (2023), 70 pucuk (2024) dan sehingga Januari lalu (31 pucuk).

Katanya, siasatan mendapati senjata api dirampas dipercayai dibeli dari negara-negara jiran bersempadan dengan Malaysia.

“Ia (senjata api) dipercayai dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan-jalan yang tidak diwartakan. Pelbagai kaedah dilakukan penyeludup bagi membawa masuk senjata api antaranya menyembunyikannya dalam kenderaan yang masuk dari negara jiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Razarudin, penyeludup turut menggunakan pengangkutan awam untuk membawa masuk senjata terbabit.

“Malah, mereka menggunakan bot nelayan dan kapal dagang dengan menyembunyikan senjata api di dalamnya untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Senjata api turut dikesan disembunyikan dengan barangan import melalui laluan hutan dan sungai di sepanjang sempadan Malaysia,” katanya.

Katanya, antara dirampas adalah pistol jenis Sig Sauer, Glock, Smith and Welson termasuk senapang M4.

Sejak 2022 hingga Januari lalu, polis turut menahan 106 individu yang dikesan memiliki dan menyeludup senjata api.

“Jumlah tangkapan membabitkan seramai 26 individu ditahan pada 2022, 35 orang pada 2023, 2024 (33 orang) dan 12 lagi pada Januari tahun ini.

“Kita akan mempergiatkan operasi bagi mengesan pemilikan senjata api secara haram demi menjaga keamanan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Tegasnya, mereka yang terlibat dengan pemilikan secara haram akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang berdepan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

“Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 pula bagi seseorang yang memiliki sesuatu senjata api dengan menyalahi undang-undang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama suatu tempoh sehingga 14 tahun dan juga sebat tidak kurang daripada enam kali,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, negara dikejutkan dengan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam dekat sini, yang mengakibatkan seorang pekerja pembersihan cedera terkena empat das tembakan di kaki serta punggung.

Semakan mendapati, suspek berusia 30-an itu mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun.

Suspek berjaya ditembak mati oleh polis di sebuah hotel di Pulau Ketam pada 18 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya