PETALING JAYA: Polis berjaya merampas sebanyak 12.79 gram dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, semalam.
Serbuan pada pukul 4 petang itu yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman turut membawa kepada penahanan 42 individu termasuk dua anggota polis yang didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam operasi itu, pihaknya menemui dadah jenis ketamin dan eramin 5 yang dipercayai untuk kegunaan pengunjung pusat hiburan berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah, termasuk dua anggota polis.
“Dua individu turut ditahan kerana memiliki dadah, membabitkan seorang lelaki yang memiliki ketamin dan seorang wanita yang memiliki eramin 5,” katanya kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 51 tahun, termasuk warga asing, telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah serta menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah agar menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau ‘hotline’ Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999. – UTUSAN