Polis Perak lulus 543 permit jual mercun, bunga api - Utusan Malaysia

Polis Perak lulus 543 permit jual mercun, bunga api

ZULKAFLI Sariaat (tiga dari kiri) bersama pegawai yang menerima sijil penghargaan sempena Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 peringkat IPK Perak diI Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak meluluskan 543 daripada 818 permohonan permit menjual mercun dan bunga api kepada peniaga di seluruh negeri sempena perayaaan Hari Raya Aidilfitri

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, daripada jumlah itu, 62 permohonan ditolak manakala 213 lagi permohonan masih dalam proses tindakan.

Katanya, daerah Ipoh merekodkan permohonan tertinggi sebanyak 199 permohonan diikuti 105 permohonan di Taiping, Hilir Perak (84), Kerian (79) dan Manjung (51).

“Daerah Kerian merekodkan penerima permit terbanyak dengan 77 permohonan diluluskan diikuti 69 permit di Hilir Perak manakala di Ipoh sebanyak 63 permit.

“Permohonan yang ditolak disebabkan apabila semakan dibuat mendapati pemohon memiliki rekod jenayah lampau selain lokasi dan tempat penyimpanan tidak sesuai untuk menjual bunga api dan mercun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, satu tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun di Taiping kerana menjual mercun tanpa permit.

Katanya, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu ditahan di tepi tapak pasar malam Taman Kaya, Simpang pada pukul 12.15 tengah malam, 16 Mac lalu.

“Sebanyak 41 kotak dan lapan bungkus mercun dan bunga api bernilai RM500 dirampas. Lelaki itu direman selama dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya