SHAH ALAM: Polis menempatkan anggota bagi melakukan pemantauan keselamatan dan kawalan lalu lintas di empat buah bazar Ramadan utama di sekitar bandar raya ini.
Lokasi itu melibatkan bazar di Stadium Shah Alam, Kompleks PKNS (Seksyen 14), Seksyen 19 dan Seksyen 20, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi keseluruhan 19 bazar yang beroperasi sepanjang Ramadan ini.
Jelas beliau, pihaknya memfokuskan empat lokasi itu selepas dikenal pasti paling banyak dikunjungi berbanding bazar lain.
‘Seramai lapan anggota polis ditempatkan secara statik di bazar itu dan turut dibantu pasukan balai polis berdekatan.
“Penugasan itu bertujuan memastikan keselamatan orang ramai lebih terjamin selain mengawal aliran trafik supaya bergerak lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persimpangan Jalan Subang, Seksyen 13 di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Mohd. Iqbal, persimpangan dikenali sebagai ‘lampu isyarat 199’ itu antara 14 lokasi aktif penugasan anggota polis trafik pada Ramadan ini.
“Bagi laluan yang sentiasa sesak itu, kami menempatkan empat anggota yang bertugas bagi dua syif bermula pukul 4.30 petang hingga 8 malam.
“Ia melibatkan enam lokasi penugasan bagi melancarkan aliran trafik keluar bandar terutama kepada penjawat awam negeri yang pulang awal dan pengguna dari Kuala Lumpur serta Klang,” ujarnya.
Tambah beliau, pemerhatian pihaknya mendapati kebanyakan pengguna jalan raya tiba di rumah sebelum pukul 7 malam berbanding sebelum ini yang terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan akibat kesesakan. – UTUSAN