Polis giat kesan ibu bapa tinggalkan bayi di bangsal kayu

Polis giat kesan ibu bapa tinggalkan bayi di bangsal kayu

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis giat mengesan ibu bapa, waris atau pihak bertanggungjawab kepada bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah bangsal kayu di Taman Semarak di sini sebelum ditemui seorang penduduk, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya kini masih meneruskan siasatan dan sehingga kini pelaku belum ditemui.

“Memandangkan kawasan bayi ditemui itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), ia tidak dapat membantu pihak kami secara langsung. 

“Apa yang ksmi buat sekarang adalah memeriksa klinik kerajaan dan swasta untuk mendapatkan maklumat berkaitan pesakit yang hadir mendapatkan rawatan berpunca daripada kelahiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, siasatan juga masih diteruskan di kawasan sekitar lokasi penemuan bayi itu untuk mengesan mereka yang terlibat bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang wanita terkejut menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam beg galas di sebuah bangsal kayu di hadapan rumahnya di Taman Semarak.

Menurut wanita itu, dia terdengar bunyi tangisan ketika sedang memasak di dapur rumahnya kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Dia mula curiga apabila suara tangisan dari arah hadapan rumahnya menjadi semakin kuat sebelum bertindak memanggil jiran untuk melihat di kawasan bangsal itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya