PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat dakwaan salah laku melibatkan tiga anggota polis trafik yang disyaki menerima suapan ketika menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di Persimpangan The Mines, Serdang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, siasatan dalaman telah dijalankan selepas tular video berdurasi satu minit 19 saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan anggota trafik mengadakan SJR di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran garis panduan serta salah laku ketika operasi itu berlangsung antara pukul 12.15 tengah hari hingga 1.15 petang.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan dan sekiranya terdapat bukti menunjukkan wujud unsur salah laku termasuk penerimaan suapan, tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terbabit.
“Polis Daerah Serdang tidak akan berkompromi dalam isu integriti dan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN