TELUK INTAN: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun cedera akibat disepak guru dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di Labu Kubong dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu mangsa berusia 41 tahun pada Ahad lalu.
“Menurut ibu kanak-kanak terbabit, anaknya telah disepak guru lelaki berusia 52 tahun itu selepas berlaku pergaduhan di dalam kelas melibatkan pelajar Tahun Tiga.
“Tindakan guru tersebut menyebabkan murid berkenaan mengalami kecederaan ringan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – UTUSAN