Polis bongkar taktik sindiket jadikan kilang, homestay proses, simpan dadah RM38.91 juta

Polis bongkar taktik sindiket jadikan kilang, homestay proses, simpan dadah RM38.91 juta

ANTARA rampasan dadah dan barangan dalam serbuan di empat lokasi iaitu sebuah kilang dan tiga homestay di sekitar daerah Seremban susulan kejayaan membongkar sindiket dadah, 13 Mac lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan kilang serta beberapa homestay di daerah ini sejak awal tahun sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai RM38.91 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata kejayaan serbuan dilakukan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dengan tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun di kawasan kilang di industri ringan Jalan Tun Dr Ismail, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, 13 Mac lalu.

Katanyanya, suspek yang dipercayai bertindak sebagai “penjaga” merangkap ahli sindiket itu seterusnya membawa kepada serbuan ke tiga buah lokasi homestay di Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya.

“Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menjadikan kilang sebagai tempat memproses dan rumah (homestay) sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan iaitu Lembah Klang dan selatan negara. 

“Hasil siasatan mendapati sindiket baharu memasuki homestay hampir dua minggu dan akan berpindah randah dari satu homestay ke satu homestay,” katanya dalam sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini,hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 274.14 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah iaitu ketamin seberat 335.65 gram; heroin base (2,058 gram); syabu (12,044 gram); serbuk ekstasi (80,201 gram); pil ekstasi (125,258 gram); pil eramin 5 (39,242 gram) dan 15,000 gram (ganja) bernilai RM38,909,410.

Menurutnya, bekalan dadah berkenaan dipercayai boleh digunakan kira-kira 442,548 penagih dadah dan pihaknya kini mengesan ahli sindiket yang lain.

Katanya, antara barangan yang dirampas di lokasi serbuan pertama iaitu kilang ialah 63 buah mesin pelbagai jenis disyaki untuk memproses dadah sintetik, 14 balang kaca serta dua buah mesin pencetak pil di lokasi ketiga.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 turut diambil iaitu dengan sitaan sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM253,413.32 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan harta sebanyak RM39,162,823.32,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan saringan awal ujian air kencing juga negatif kini direman selama tujuh hari bermula 14 Mac lalu hingga 20 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya