PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur dan menegaskan kepada semua pihak bahawa tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu raja, bangsa, agama (3R) mampu menggugat keharmonian negara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, menurut Perdana Menteri, tindakan dan pertuturan menyentuh isu 3R tidak seharusnya diulang kerana ia menyinggung sensitiviti penganut agama lain.
“Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan, serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
“Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan untuk kita bersama mempertahan keharmonian serta menolak usaha dan tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Terdahulu, tindakan tiga penyampai radio dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain dalam segmen kendalian mereka.
Penyampai radio berkenaan kemudiannya membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka menyinggung sensitiviti kaum di negara ini namun ketiga-tiga mereka digantung tugas sehingga siasatan dalaman selesai. – UTUSAN